TAK TERFIKIR UNTUK BERCERAI - KAK ENGKU



SEPANJANG minggu lalu, nama personaliti ini menjadi buruan sebilangan besar pihak media yang mahukan kebenaran di sebalik kisah pergolakan rumah tangganya.

Sememangnya sejak berita kurang enak itu mula bertebaran, ramai yang melahirkan rasa terkejut mereka kerana benar-benar tidak menyangka perkahwinan Raja Azura, 38, bersama suaminya, Adzmin Osman, 37, berdepan dengan masalah.

Sedangkan sebelum ini, Raja Azura atau lebih mesra dengan panggilan Kak Engku itu tidak pernah pula mencanangkan kepada umum tentang sebarang masalah yang dialaminya selepas hampir sedekad bergelar isteri dan ibu.

Raja Azura memang kelihatan cukup bahagia dengan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta pada 10 Mac 2001 itu.

Lebih-lebih lagi dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Haqim, 7, dan Puteri Mia Maizura, 4 yang dilihat mampu mengukuhkan lagi ikatan perkahwinannya.

Spekulasi tentang pergolakan rumah tangganya menjadi semakin kuat apabila Raja Azura dikatakan telah memfailkan permohonan berkaitan perkahwinannya di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, Selangor pada 3 Ogos lalu.

Pihak media yang berada di mahkamah ketika itu bagaimanapun gagal mendapatkan sebarang pengesahan daripada mana-mana pihak berhubung kunjungan personaliti itu.

Difahamkan permohonan membabitkan pasangan berkenaan telah disebut di hadapan Hakim Syarie, Saharuddin Selamat di kamar beliau pada pagi itu tetapi tidak diketahui apakah bentuk permohonan yang dikemukakan itu.

Selepas mendapat perkhabaran itu, Raja Azura terus menjadi buruan pihak media yang mahu mendapatkan kisah sebenar daripada mulutnya sendiri.

Tetapi, semuanya gagal kerana setiap panggilan mahupun kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak dijawab oleh Raja Azura.

Malah, dia juga mengambil cuti selama dua hari daripada menjalankan tugasnya sebagai penyampai radio Sinar FM menerusi slot Sinar Pagi bersama Salih Yaacob dan Khairil Rashid.

Selepas berfikir semasak-masaknya selama tiga hari, akhirnya Raja Azura atau nama sebenarnya, Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin bersedia untuk berhadapan dengan pihak media bagi menjelaskan kedudukannya.

Pagi Jumaat lalu, bertempat di ibu pejabat Astro yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Raja Azura dengan penuh tenang meluahkan segala-galanya sekali gus meleraikan kekusutan yang dihadapi di hadapan puluhan pihak media.

Pada sidang media itu, Raja Azura tidak hadir keseorangan. Sebaliknya, dia mendapat sokongan penuh daripada kakitangan AMP Radio Networks sendiri termasuk Pengurus Program Sinar FM, Rostam Said serta Salih Yaacob, Khairil Rashid dan Nila Kurnia.

Sebagai orang yang cukup berpengalaman, dia dengan penuh yakin melontarkan segala kata-katanya tanpa langsung menunjukkan riak kedukaan di wajahnya.

Siapalah kita yang dapat menelah dan membaca gelora hati Raja Azura ketika ini kerana apa sahaja yang berlaku, hanya Yang Maha Esa sahaja yang mengetahuinya.

Sesekali dia ketawa dan berseloroh dalam memberikan jawapannya. Malah, dia sendiri tidak ambil peduli tentang segala spekulasi yang melanda dirinya sepanjang minggu lalu.

Dengan penuh jujur Raja Azura mengakui, dia dan suaminya telah berkunjung ke mahkamah berkenaan untuk berjumpa dengan hakim pada 3 Ogos lalu.

Namun, tegas Raja Azura, kehadirannya bersama suami bukanlah kerana mahu memfailkan permohonan cerai seperti mana yang hangat diperkatakan.

Sebaliknya, mereka ke sana untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan meminta nasihat daripada hakim untuk terus memperbaiki hubungan mereka sebagai suami isteri.

"Saya belum terfikir ke arah perceraian kerana saya benar-benar yakin bahawa setiap masalah yang dihadapi ada jalan penyelesaiannya.

"Biasalah. Dalam hubungan suami isteri, mana ada yang tidak ada masalah. Bohonglah kalau ada yang mengatakan perkahwinan mereka tiada masalah.

"Buat apa untuk saya menceritakan segala-galanya kepada umum kerana setiap permasalahan itu ada fasa-fasanya dalam mencari jalan penyelesaiannya.

"Saya berpegang kepada nasihat ibu saya apabila ada masalah keluarga, perkara utama adalah berbincang sesama suami isteri dan keluarga.

"Kemudian, barulah memilih jalan seterusnya iaitu bertemu dengan mereka yang arif dalam bab agama untuk mendapatkan nasihat yang sepatutnya," jelasnya yang pernah membintangi drama bersiri popular, Mat Despatch menjelaskan situasi sebenar.


P/S : Miz Lazer sokong keputusan kak engku.. Kami di Click Celebrity mendoakan agar rumah tangga kak engku kembali seperti sedia kala..


Sumber : Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment