FARAH ASYIKIN PUTUS TUNANG



KEBAHAGIAAN yang diharapkan oleh penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 31, bersama jejaka pilihan iaitu duda anak satu berusia 36 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai M, berasal daripada Singapura tidak kesampaian.

Semuanya kerana ikatan pertunangan yang disimpul sekitar Mei tahun ini sudah terputus dua bulan lalu.

Enggan membongkar dan membuka segala aib mana-mana pihak, Farah yang ditemui pada majlis rumah terbuka Media Prima Berhad baru-baru ini memberitahu keputusan untuk memutuskan pertunangan itu merupakan keputusannya sendiri. Tiada paksaan daripada sesiapa pun.

“Saya buat keputusan itu setelah berfikir dengan sebaiknya dan keputusan yang diambil adalah untuk kebaikan semua pihak.

“Bukan saya tidak menyayangi hubungan kami, tetapi terlalu banyak perkara negatif yang mengelilingi hubungan kami,” ulasnya.

Tambah Farah, dia juga tidak menyesal dengan pilihan yang diambil kerana sudah mencuba sedaya upaya untuk pertahankan hubungan yang mula terjalin menerusi laman sosial Facebook itu.

“Saya tidak menyesal memilih dia dan tidak menyesal memutuskan pertunangan kerana sebelum itu, saya telah cuba sedaya upaya mempertahankan hubungan kami dan ini takdir Allah yang harus saya terima,” ujarnya.

Farah juga menafikan hubungannya dengan jejaka yang menetap dan bekerja di Macau sebagai jurutera bunyi itu mendapat tentangan daripada pihak keluarga lelaki memandangkan sebelum ini pernah timbul kontroversi. Ini kerana pada awal percintaan mereka, jejaka itu masih merupakan suami orang.

“Hubungan saya dengan keluarga pihak lelaki amat baik tidak ada sebarang masalah. Tidak timbul masalah mereka menentang hubungan kami. Kalau tidak, kami tidak akan bertunang,” katanya yang tetap kukuh mengunci mulut tentang punca perpisahan mereka.

Meskipun pernah kecundang di alam perkahwinan dengan bekas suaminya, Dr. Fariz Yahya pada 26 Mei 2008 dan kini putus tunang, Farah tidak pernah serik untuk bercinta semula.

Katanya, siapalah dia untuk menghalang pintu hatinya daripada terbuka kepada cinta yang dilayangkan oleh mana-mana lelaki.

“Saya tidak serik, cuma semakin berhati-hati. Saya percaya semua dugaan ini datangnya daripada Allah dan ini banyak mengajar saya untuk menjadi wanita yang lebih matang.

“Andai dipertemukan jodoh sekali lagi, saya terima. Siapalah saya untuk menghalang takdir. Umur saya bukannya semakin muda, tetapi semakin meningkat.

“Saya juga kepingin untuk memiliki sebuah keluarga bahagia seperti mana orang lain. Cuma saya inginkan lelaki yang bertanggungjawab, ikhlas dan berterus-terang, maknanya tidak menyembunyikan sebarang rahsia daripada saya,” tuturnya.

Bercakap tentang kerjaya pula, penyanyi yang popular dengan lagu Hello itu kini baru sahaja selesai menjalani rakaman lagu ciptaannya berjudul Kamu Aku Satu duetnya bersama Shamrin Fotograf.

“Saya pun tidak sangka boleh bekerjasama dengan Abang Shamrin. Semuanya berlaku secara kebetulan apabila saya bertemu dengan dia dalam satu persembahan di Johor Bahru. Ketika itu Shamrin minta saya buatkan lagu untuknya kerana dia suka dengan lagu Hello dan Seribu Penipuan. Bila lagu siap dia minta saya berduet dengannya,” ucapnya.

Selain itu Farah yang menubuhkan syarikat sendiri, Faith Anthem Production untuk menguruskan kerjaya nyanyiannya juga bakal muncul dengan album baru tidak lama lagi.

0 comments:

Post a Comment