TANGISAN BUNG MOKHTAR




SHAH ALAM: “Saya percaya perkara baik, (kesudahannya) tetap baik. Allah sudah memberikan hadiah terbaik untuk Ramadan tahun ini,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin sejurus terlepas daripada hukuman penjara sebulan kerana berpoligami tanpa kebenaran di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Mukhyuddin Ibrahim menerima rayuan Bung Mokhtar, sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur sebelum ini.

Mahkamah sebaliknya memerintahkan Bung Mokhtar didenda RM1,000 atas kesalahan itu atau dipenjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Sebaik keputusan dibacakan, Ahli Parlimen itu tidak dapat menahan sebak lalu menitiskan air mata sebelum memeluk isteri keduanya, Zizie Izette A Samad, 32, dan ahli keluarga lain yang berada di galeri awam mahkamah.

Bung Mokhtar, 51, ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dengan keputusan itu selepas terpaksa melalui proses mahkamah yang panjang sejak kesnya disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

“Saya berharap isu akan tamat di sini. Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada peguam, ahli keluarga dan sahabat yang menyokong tanpa berbelah bagi,” katanya.

Zizie pula yang beberapa kali membantu menenangkan Bung Mokhtar berkata, dengan perkembangan terbaru itu, mereka kini dapat menjalani kehidupan lebih harmoni sebagai suami isteri.

“Syukur Alhamdulillah, terima kasih atas doa ahli keluarga dan sahabat di luar sana. Selamat berpuasa,” katanya.

Pada prosiding semalam, Bung Mokhtar selaku pemohon diwakili oleh peguam syarie, Amli Embong, manakala Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor, Zusyarafain Md Yusof mewakili responden.

Pada 19 Mei lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas Bung Mokhtar mengaku bersalah atas kesalahan berpoligami tanpa kebenaran.

Pasangan itu bernikah di rumah Bung Mokhtar di No 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak, jam 8.50 malam, 16 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Ahmad membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu dan Bung Mokhtar kemudian memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lalu.

Sementara itu, Mukhyuddin dalam alasan penghakimannya yang dibaca lebih dua jam berkata, mahkamah menerima lima daripada 13 alasan yang difailkan oleh perayu.

Katanya, alasan itu meliputi fakta bahawa ia kesalahan pertama, hakim terdahulu menjatuhkan hukuman tanpa alasan munasabah dan terkhilaf kerana mengambil kira kedudukan Bung Mokhtar sebagai Ahli Parlimen.

Selain itu, katanya, hakim terdahulu gagal membuat pertimbangan dari segi kesan hukuman penjara terhadap keluarga perayu - Harian Metro


P/S : Ermmm... Menangis la Bung.. Lain kali kalau nak kawen lagi jangan lupe minta izin isteri yer.. Miz Lazer nk ingatkan lelaki-lelaki kat luar sane, ingt, minta izin isteri dulu untuk berpoligami.. Bukan semua orang bernasib baik untuk terlepas daripada hukuman tersebut. Kalau anda tak bernasib baik, ke dalam la jawabnya. Heee.. Selamat kawen semua... :P

0 comments:

Post a Comment