PEHA JUE AZIZ MELECUR



Gadis berambut panjang mengurai, cantik dan lembut wajahnya ini amat dikenali menerusi drama-drama lakonannya. Tidak ketinggalan juga kontroversi-kontroversi yang melanda dirinya. Namun, anak gadis yang dikenali sebagai Jue ini terus mengorak langkah dalam bidang seni yang diminatinya.

Menjadi penggemar aktiviti-aktiviti lasak, dan baru-baru ini ketika sedang bercuti dengan rakan-rakannya di Thailand, Jue telah melecur di pehanya. Akibat cuba untuk membuat aksi bermain api.

"Ketika di Thailand, saya dan kawan-kawan melihat pertunjukan api dan sesiapa yang berminat serta berani boleh mencubanya. Jadi saya tidak lepaskan peluang untuk mencuba kerana bukan selalu dapat buat aktiviti sebegitu. Masa itu, saya memilih untuk melompat di tengah-tengah sebuah gegelung yang sedang terbakar.

"Oleh kerana saya menggunakan teknik yang salah, saya terjatuh dan peha saya terkena api tersebut. Tetapi ketika itu saya tidak rasa sakit dan keesokannya harinya saya pergi mandi laut dan berjemur. Memang rasa pedih tetapi saya tidak kisah. Malah sehingga kini saya tidak bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Sebaliknya hanya menggunakan jeli gamat untuk menghilangkan rasa pedih dan parut.

"Kini peha saya masih melecur walaupun semakin beransur pulih. Namun saya terpaksa membalutnya untuk memudahkan pergerakan saya apabila keluar bekerja. Sakit memang sakit, tetapi itulah akibat yang terpaksa saya tanggung. Kawan-kawan memang melarang saya melakukannya, tetapi saya rasa jika saya tidak melakukannya, saya tidak akan merasai pengalaman tersebut sampai bila-bila," katanya yang kelihatan sedikit kurus.

0 comments:

Post a Comment