Polis Cari Dalang Ugut Bunuh AC Mizal

KUALA LUMPUR: Polis memandang serius laporan pelakon dan pengacara terkenal, Datuk Mizal Zaini, 39, atau lebih dikenali sebagai AC Mizal berhubung ugutan bunuh diterima, sekali gus berusaha mengesan dalang yang menyebarkan ugutan itu.

Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata setakat ini, keterangan artis terbabit berhubung dakwaannya diugut serta difitnah melalui blog dan laman web sosial facebook sudah direkodkan.


Menurutnya, laporan itu turut diserahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mempunyai kemahiran khusus bagi menjejaki individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan.

“Polis bagaimanapun tetap memberi perhatian terhadap sebarang bentuk ancaman atau ugutan bunuh yang boleh membahayakan nyawa artis terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Difahamkan, terdapat lima laman web yang dikaitkan memburuk-burukkan nama dan syarikat artis itu yang tersebar melalui Internet sejak beberapa minggu lalu Selain membuat ugutan kepada AC Mizal, penulis blog berkenaan melemparkan ugutan kepada pekerja serta kakitangan syarikat AC Mizal yang didakwa melakukan penipuan berhubung harga kos dan harga jualan produk syarikat berkenaan.


Malah, artis itu turut dituduh menipu pengguna mengenai testimonial daripada pesakit yang menggunakan produk gelang tangan diedarkan syarikat itu.

Artis yang pernah membintangi beberapa filem terkenal itu turut mendakwa penyebaran fitnah berkenaan yang menyentuh kehidupan peribadinya didakwa bertujuan untuk memburuk-burukkan namanya selain memberi tanggapan negatif terhadap pihak yang ingin menyertai perniagaannya.


Sementara itu, AC Mizal sudah membuat aduan berhubung fitnah terhadap produk jualan syarikatnya ke SKMM bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dilakukan.

Berdasarkan laporan itu, pihak SKMM sudah mengarahkan Jabatan Siasatan SKMM untuk menjalankan siasatan terperinci mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

0 comments:

Post a Comment